Tanjak Pahang

Tanjak atau Tengkolok ialah sejenis pakaian harian orang Melayu di zaman purba. Pada masa kini, tanjak digunakan untuk pakaian tertentu oleh orang-orang tertentu dan lazimnya di kalangan golongan istana sahaja. Dipercayai bahawa tanjak ini berasal dari Nusantara kerana Negeri Pahang pernah diperintah oleh Empayar Johor-Riau-Lingga dan mempunyai hubungan yang baik dengan Minangkabau dan Bugis. Hal ini telah mengukuhkan bahawa tanjak dibawa dari rantau ini.

Terdapat pelbagai jenis tanjak berdasarkan rekabentuk dan kaedah mengikat. Sebelum tanjak dibentuk, kain tanjak tersebut perlu digerus terlebih dahulu dengan menggunakan siput gerus agar kain tersebut licin dan berkilat. Gerus ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu gerus mentah dan gerus masak. Kain yang menggunakan kaedah gerus mentah tidak dikanji terlebih dahulu manakala kain yang menggunakan kaedah gerus masak kainnya dikanji terlebih dahulu. Terdapat beberapa jenis kain sahaja yang dikhaskan untuk membuat tanjak iaitu Kain Songket, Kain Bugis, Kain Benang Halus, dan Batik Jawa. Tanjak ini hanya dipakai di majlis-majlis rasmi seperti di Majlis Adat Istiadat Di Raja, di Balairong Seri, Istiadat di Balai, di Istiadat Meletak Kerja atau di Majlis-majlis Perkahwinan Di Raja. 

Antara jenis tanjak yang terdapat di Negeri Pahang ialah Tanjak Sunda Menggamit yang dipakai oleh Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah. Tanjak Bugis Tak Balik pula sering dipakai oleh Al-Marhum Sultan Mahmud manakala Tanjak Helang Menyunsung Angin dipakai oleh Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu'tassim Billah. Semasa pemerintahan Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Muadzam Shah, kebanyakkan golongan istana memakai Tanjak Sekelungsung Bunga yang mana warna kain tanjak tersebut sahaja yang membezakan kedudukan si pemakai. Tanjak yang berwarna kuning untuk Sultan, hitam untuk Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Pahang, biru untuk Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggong Pahang dan merah untuk Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Pahang. Namun, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah telah memakai kembali Tanjak Helang Menyunsung Angin yang pernah dipakai oleh Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu'tassim Billah.

 


Dato' Bahaman Bin Tuanku Imam Noh
Pertabalan Agong: Tanjak diraja 40 tahun mungkin p...

Related Posts