Balai Kehambaan

کهمباءن کڤد الله سبحانه وتعالى - مراساکن کحاضيرن الله دالم ستياڤ ݢرق-ݢري، تيندق-تندوق ملتقکن سسأورڠ إنسان ايت سنتياس براد دالم کأداءن تقوى دان إيمان. همبا مروڤاکن ݢولوڠن يڠ ڤاليڠ رنده دالم ستروکتور هيررکي مشارکت

Image

Kehambaan kepada Allah SWT - merasakan kehadiran Allah SWT dalam setiap gerak geri, tindak tanduk meletakkan seseorang insan itu sentiasa berada dalam keadaan takwa dan iman. Hamba merupakan golongan yang paling rendah dalam struktur hierarki masyarakat. Golongan ini tidak boleh bertindak mengikut kemahuan sendiri kerana dikawal oleh peraturan dan perintah yang ditentukan oleh pemilik mereka. Namun, kedatangan Islam menukar konsep daripada perhambaan manusia kepada kehambaan kepada Allah SWT. Rasa kehambaan perlu ada di dalam hati setiap manusia. Antara sifat yang ada pada seorang hamba ialah miskin, jahil, lemah, bersalah dan hina. Sifat ini akan mendorong manusia untuk meletakkan pergantungan kepada yang Maha Kuat, pengharapan kepada yang Maha Sempurna, permohonan kepada yang Maha Kaya sehingga menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat.

Sejarah mencatatkan bahawa apabila orang Melayu menerima Islam, mereka merasakan status diri diangkat kerana menjadi sebahagian daripada ahli keanggotaan ummah Islam sedunia.

Hal ini menguntungkan masyarakat Melayu kerana, Islam telah mengangkat martabat tamadun Melayu ke peringkat antarabangsa. Proses ini telah menimbulkan semangat perpaduan dalam kalangan umat Melayu bahawa kedudukan mereka di dalam kerangka tauhid, ummah dan ukhuwwah bukan terhad kepada lingkungan kawasan dan sejarah alam Melayu semata-mata bahkan turut membabitkan kesemua umat Islam seluruh dunia dari setiap zaman dengan warisan tamadun yang tinggi.

Begitu juga dalam berinteraksi dengan aspek kesenian, Islam telah membentuk suatu karya seni yang tersendiri.

Faktor ini juga menyebabkan kerapnya berlaku penentangan umat Melayu-Islam terhadap kuasa penjajah barat yang dianggap sebagai kuasa kafir dan hal ini telah diakui sendiri oleh mubaligh Kristian yang mengatakan bahawa orang Melayu sebagai golongan yang kuat berpegang kepada agama Islam. Apa yang jelasnya, sifat kemelayuan yang begitu sebati dengan Islam ini telah mengakibatkan sebarang serangan yang dibuat terhadap Islam akan dianggap seperti serangan yang dibuat terhadap asas kebudayaan Melayu.

.Karya seni dalam konteks pandangan Islam sesuai dengan fitrah dan kejadian manusia iaitu tunduk, menyerah dan mendekatkan diri kepada-Nya, selaras dengan kedudukan hamba yang melakukan pengabdian kepada-Nya. Sejak daripada zaman tradisi Islam, karya seni Islam berperanan untuk meningkatkan akidah, syariah, akhlak dan masyarakat. Karya seni yang berunsur Islam mempunyai peranan dan kedudukan yang cukup istimewa dalam pertembungannya dengan karya seni pasca moden dalam zaman global ini. Oleh sebab sesuatu karya seni dihasilkan untuk membentuk peradaban atau kebudayaan, maka karya yang dihasilkan itu lebih menekankan aspek dalaman, fikiran dan intelektualisme sesuai dengan sifat akli yang menjadi teras kemanusiaan, tidak semata-mata bermaksud untuk pemuasan perasaan dan juga kehendak lahiriah.

كاريا سني ملايو سباڬاي سيمبول كقواتن، كبرانيان دان كبيجقسنأن مشاركت ملايو
Karya seni Melayu sebagai simbol kekuatan, keberanian dan kebijaksanaan masyarakat Melayu

Selain itu, galeri ini juga memaparkan karya seni Melayu seperti keris dan manuskrip yang merupakan simbol kekuatan, keberanian dan kebijaksanaan masyarakat Melayu. Keris merupakan senjata yang mewakili keampuhan Melayu dan menjadi senjata penting semasa menentang penjajahan. Senjata ini telah digunakan oleh tokoh-tokoh seperti Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Pawang Nong dan lain-lain dalam mempertahankan tanah air dan kesucian agama Islam. Jika keris digunakan sebagai senjata jasmani, manuskrip pula menjadi pelengkap kepada keperluan rohani dan intelek yang perlu dimiliki oleh seseorang manusia yang bergelar hamba. Islam telah memberi sumbangan yang besar dalam perkembangan tamadun ilmu di alam Melayu sehingga melahirkan manuskrip Melayu-Islam dalam pelbagai cabang ilmu pengetahuan. Semua ini membawa kepada kesempurnaan, kesimbangan dan sifat kehambaan yang akhirnya kembali kepada kebesaran dan kekuasaan Allah subhanahu wa taala.

Hasil Seni
Asmaul Husna
Manuskrip
Koleksi Manuskrip Pahang
Senjata Alam Melayu

Koleksi Keris-Keris 
Karya Seni

Kebijaksanaan Masyarakat Melayu
© 2020 Perbadanan Muzium Negeri Pahang. All Rights Reserved.