Seni tembikar merupakan sejenis hasil kraftangan orang Melayu, diperbuat dari tanah liat yang dibakar dan digilap. Reka bentuknya dicipta berdasarkan fungsi sesuatu barang. Di Pahang, tradisi ini masih diteruskan seperti yang diusahakan di Kampung Pasir Durian, Kuala Tembeling. Bukti awal kewujudan tembikar Melayu Pahang terutamanya terenang telah disebut dalam naskah 'Sejarah Melayu’ tulisan Tun Sri Lanang. Wilkinson (1903) telah memberikan definisi terenang dalam kamusnya dan Wray (1908) juga telah menyentuh tentang perusahaan pembuatan tembikar ini dalam penulisannya berkaitan negeri Pahang.

Terenang berasal dari Kampung Pasir Durian yang terletak di persisiran Sungai Ulu Tembeling, Jerantut. Terenang tanah mempunyai bentuknya tersendiri yang dihiasi dengan ukiran awan larat yang direka berdasarkan cerita tertentu. Corak awan larat dan ukurannya berbeza di antara satu sama lain. Fungsi terenang secara tradisionalnya digunakan untuk mengangkut dan menyimpan air. Jika terenang yang telah digunakan dikeringkan dengan meletakkannya di atas para, dipercayai bahawa air yang dimasukkan ke dalamnya akan sentiasa sejuk dan berbau wangi. Selain daripada itu, terenang juga digunakan dalam proses menjampi air tawar apabila bomoh ingin mengubati sesuatu penyakit. Air tawar itu akan diberi minum kepada pesakit dan juga boleh digunakan untuk menjaram dan memandikan pesakit.