Tenun Pahang dikatakan telah bertapak di bumi Pahang sejak abad ke-17 Masihi. Seni tenun ini dipercayai berasal dari tanah Bugis dan diperkenalkan oleh seorang pembesar Bugis bernama Keraing Aji yang juga dikenali sebagai Tok Tuan. Berbekalkan pengetahuan dan kepakaran dalam aktiviti menenun sutera, Tok Tuan telah mengajar segala teknik menenun sehinggalah beliau bersemadi di Kampung Mengkasar, Pekan. Tok Tuan boleh dianggap sebagai pengasas kepada perusahaan tenunan di negeri Pahang setelah beliau berjaya membangun dan mengembangkan perusahaan ini sehingga menjadi salah satu perusahaan yang penting dan diminati ramai di Pahang pada ketika itu. Kini, Tenun Pahang merupakan tradisi tenunan asli yang telah dicipta sejak berkurun lamanya oleh rakyat Pahang yang menggambarkan kehidupan tradisi, mitos, agama, pantang-larang serta upacara-upacara tertentu di sebaliknya. Kain tenun telah berkembang kepada satu bentuk seni halus tekstil yang ditenun untuk golongan istana. Oleh itu, anugerah gelaran ‘Diraja’ yang dikurniakan kepada Tenun Pahang menjadi Tenun Pahang Diraja adalah sebuah penganugerahan yang amat tepat. Tenun Pahang Diraja adalah simbol keunggulan status dan kuasa yang mencerminkan nilai estetika si pemakai.