Negeri Pahang bukan sahaja kaya dengan alam semulajadi tetapi juga mempunyai jumlah anak sungai yang banyak, menjadikan Sungai Pahang sebagai sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia. Asal-usul Sungai Pahang dikatakan terhasil melalui faktor geografi dan merupakan sebahagian dari warisan Sungai Sunda Utara yang mempunyai rangkaian perhubungan dengan Sungai Mekong di Vietnam, Sungai Chao Phraya di Thailand serta Sungai Rajang dan Baram di Sarawak. Pelbagai manfaat telah diperolehi oleh penduduk setempat di negeri Pahang kesan daripada kewujudan sungai ini. Antara manfaatnya ialah sebagai sumber keperluan harian dan jalan perhubungan. Sungai-sungai di Pahang seperti Sungai Pahang, Sungai Kuantan, Sungai Bebar, Sungai Rompin, Sungai Endau, Sungai Tembeling, Sungai Jelai, Sungai Semantan, dan cawangan-cawangan sungai ini serta beberapa buah sungai kecil telah dijadikan sebagai rangkaian laluan pengangkutan untuk ke negeri-negeri berdekatan seperti Selangor, Perak, Kelantan, Negeri Sembilan, Johor dan Terengganu. Sungai-sungai berkenaan telah dijadikan sebagai jalan perhubungan untuk membawa penumpang dan barangan ke destinasi tertentu.

Di samping itu, sungai juga memainkan peranan dalam mengembangkan agama Islam kepada penduduk setempat. Sungai yang terdapat di Pahang menjadi saksi kepada kebangkitan dan perjuangan pahlawan-pahlawan Melayu Pahang seperti Dato’ Bahaman, Mat Kilau, Mat Lela dan tokoh-tokoh lain yang begitu berani menentang penjajahan British, melalui rangkai perhubungan Sungai Jelai, Sungai Duri, dan Sungai Tembeling. Kemahiran mereka dalam menggunakan sungai sebagai jalan perhubungan, lokasi serangan dan benteng pertahanan telah dibuktikan dengan kejayaan mereka mematahkan serangan dan membentuk kubu pertahanan dari beberapa siri serangan penjajah yang ketika itu terkenal dengan teknologi hebat dari Barat. Selain daripada itu, sungai-sungai di Pahang juga menjadi lokasi untuk pertandingan sukan air. Di Temerloh, sukan air yang menggunakan rakit telah dipopularkan pada tahun 1992. Antara acara yang dipertandingkan ialah pertandingan menghias rakit dan acara berakit dari Lubuk Kawah sehingga ke kawasan jeti feri lama Temerloh. Acara berakit telah menjadi acara tahunan Pesta Berakit yang dianjurkan oleh Badan Perlancongan Negeri Pahang. Sehingga kini, sungai masih lagi memainkan peranan yang penting sepertimana pada waktu dahulu, terutama buat penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman. Justeru, tidak hairanlah bahawa kepentingan sungai terutamanya sungai-sungai di negeri Pahang ini tidak harus diketepikan begitu sahaja.