Permainan gasing terkenal di kalangan orang Melayu semenjak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Di Pahang, semasa zaman pemerintahan Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah (1863-1914) sehingga ke zaman pemerintahan puteranya Sultan Mahmud, permainan gasing amat popular malah pelbagai jenis gasing telah direka. Permainan gasing yang paling digemari di negeri Pahang dikenali sebagai Gasing Pangkah Pahang. Permainan gasing ini popular di daerah Kuantan (di Kampung Cherating, Tanjung Lumpur, Penor dan Beserah), daerah Pekan (Tanjung Medang, Pulau Jawa, Pulau Rumput dan Kuala Pahang), daerah Bentong ( Kampung Labu dan Kampung Cheringging), daerah Rompin (Kampung Sarang Tiong, Endau), daerah Kuala Lipis (Tanjung Lipis dan Kampung Kuala Lahar), daerah Raub (Ulu Dong) dan daerah Temerloh (Kampung Sekara, Kampung Bukit Kelulut).

Hencang buah keras ialah sejenis permainan tradisional yang dimainkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Pahang Darul Makmur sejak beratus tahun yang lampau. Permainan ini popular di zaman pemerintahan Sultan Ahmad Al Muadzam Shah (1882-1914), Sultan Mahmud (1914-1917) dan Sultan Abdullah Al Mustassim Billah (1917-1932). Mengikut cerita, Sultan Ahmad Al Muadzam Shah pernah menghantar orang suruhan baginda untuk mencari buah keras yang baik mutunya. Ada juga yang menceritakan bahawa kerana minat baginda terhadap permainan hencang buah keras ini, Sultan Abdullah sendiri berangkat mudik dari Sungai Pahang hingga Chenor untuk mencari buah keras yang baik iaitu buah yang tahan dilaga dan tahan lasak. Ini kerana mukim Chenor dikenali sebagai kawasan yang mengeluarkan buah keras yang baik mutunya. Permainan tradisional ini sangat menyeronokkan dan dimainkan dalam hampir setiap keramaian.