Sistem pengangkutan keretapi di Pahang termasuk dalam laluan keretapi yang dikenali sebagai Laluan Pantai Timur. Laluan ini juga dikenali sebagai laluan hutan kerana ia adalah laluan keretapi yang melalui kawasan pedalaman dan hutan tebal. Projek pembinaan landasan Laluan Pantai Timur ini dijalankan oleh pihak British dengan tujuan untuk membangunkan negeri Pahang dan Kelantan yang pada ketika itu kaya dengan sumber galian dan pertanian. Projek ini bermula dengan kerja-kerja pemetaan pada tahun 1909. Walau bagaimanapun, proses pembinaan landasan ini seringkali tergendala akibat faktor dalaman seperti banjir dan wabak penyakit serta faktor luaran seperti tercetusnya Perang Dunia Pertama. Akhirnya, pada 9 September 1931, pembukaan secara rasmi landasan keretapi Laluan Pantai Timur ini telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan dan Gabenor Negeri-negeri Selat pada ketika itu, iaitu TYT Sir Cecil Smith. Pada tahun-tahun berikutnya, lebih banyak stesen-stesen dan perhentian-perhentian keretapi telah dibuka di Pahang yang menghubungkan negeri ini dengan destinasi-destinasi utama di seluruh Malaysia. Kini, terdapat 24 stesen keretapi di seluruh negeri Pahang.