Puding Raja
Laksa Pahang
Umbut Bakar
Nasi Ulam
Udang Masak Merah
Tepung Tukul
Kuih Cucur

Kebanyakan masakan yang disediakan adalah bersumber daripada bahan mentah yang terdapat di kawasan sekitarnya. Selain itu, keadaan geografi, taraf sosial, pendidikan dan agama turut mempengaruhi kepelbagaian bahan dan kaedah yang digunakan dalam setiap masakan. Keadaan geo-fizikal negeri Pahang yang terdiri daripada tanah tinggi, tanah pamah, pulau-pulau, tasik dan kawasan pesisiran pantai serta kelainan sosio-budaya daripada kewujudan masyarakat Orang Asli sehingga kehidupan di istana turut mewarnai kepelbagaian jenis hidangan masakan setempat. Keadaan ini merupakan kelebihan dan keistimewaan tersendiri masakan tradisional Pahang yang mampu memikat selera sesiapa jua. Seperkara lagi yang menarik tentang masakan tradisional Pahang ialah tidak terdapat unsur-unsur merbahaya seperti bahan pengawet dan racun kimia di dalamnya. Dari segi fungsi, bukan semua makanan digunakan semata-mata untuk mengenyangkan perut. Ada makanan yang disediakan khusus untuk ‘makhluk halus’ seperti dalam upacara pengubatan tradisional, misalnya penggunaan ‘Bertih’ dan ‘Nasi Kunyit’. Ada pula makanan yang khusus dipersembahkan kepada raja-raja dalam majlis khas seperti ‘Nasi Kebuli’ yang tidak menjadi makanan harian. ‘Puding Raja’ yang merupakan satu unsur baru dalam menu diraja juga mempunyai ciri-ciri khusus ini. Fungsi setiap masakan juga menerima pengaruh yang besar daripada alam sekitarnya. ‘Nasi Dagang’ dan ‘Bubur Lambuk’ misalnya, amat popular di kalangan masyarakat yang tinggal di pesisiran pantai seperti Pekan dan Kuantan tetapi amat asing bagi masyarakat yang tinggal di kawasan ulu sungai seperti Temerloh, Jerantut dan Lipis pada suatu masa dahulu iaitu sebelum sekitar tahun lima puluhan.