Negeri Pahang merupakan sebuah negeri yang telah wujud lebih awal dari Kerajaan Melaka. Hal ini dapat dibuktikan berdasarkan kepada penemuan-penemuan bahan-bahan artifak hasil daripada kerja-kerja arkeologi yang dijalankan di seluruh negeri. Dikhabarkan bahawa pada zaman dahulu, Wilayah Selatan Semenanjung Tanah Melayu juga termasuk dalam kawasan Kerajaan Negeri Pahang. Orang Jawa Majapahit pada satu ketika dahulu menggelar Semenanjung Tanah Melayu sebagai Pahang sahaja. Terdapat pelbagai nama yang digunakan untuk merujuk kepada negeri Pahang. Contohnya, Pengarang Cina pernah menyebut Pahang sebagai Pang-Hang, Pong-Fong manakala orang Arab dan orang Eropah pada zaman dahulu menyebut Pam, Pahng, Fanhan dan sebagainya. Selain daripada itu, wujud pendapat yang mengatakan bahawa negeri Pahang mendapat namanya bersempena dengan nama sepohon pokok yang amat besar, yang dikenali sebagai Pokok Mahang. Malah, ada juga pendapat yang mengatakan bahawa nama Pahang berasal dari bahasa Siam asli yang bermaksud Timah. Hal ini demikian kerana, pada satu ketika dahulu, negeri Pahang pernah dijajah oleh kerajaan Majapahit dan juga kerajaan Siam. Pahang kemudiannya berada di bawah pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka setelah Maharaja Dewa Sura iaitu Maharaja Siam yang memerintah negeri ini pada ketika itu telah berjaya ditewaskan. Maka, tidak hairanlah sekiranya pemerintahan beraja negeri Pahang tidak jauh berbeza dari pemerintahan beraja negeri Melaka. Bermula pada tahun 1699, pemerintahan negeri Pahang berpindah kepada keturunan Bendahara sehingga tahun 1884 apabila Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah dilantik sebagai Sultan Pahang yang pertama. Keturunan baginda kekal memerintah negeri Pahang sehingga ke hari ini.

sidepxs14Menurut lagenda, semasa Wan Ahmad (kemudiannya digelar Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah selepas menjadi Sultan) bersemayam di Terengganu, baginda duduk minum kopi sambil berfikir tentang strategi untuk mengalahkan saudaranya, Wan Mutahir. Setelah baginda memenangi pertarungan dengan Wan Mutahir, maka gambar daun kopi telah dijadikan cogan kebesaran keluarga baginda dan gading gajah yang bersilang di bawah daun kopi itu melambangkan kekuasaan, yakni binatang yang paling kuat dan terbesar di darat. Seperti yang digambarkan dalam sejarah Melayu, gajah mempunyai hubungan yang rapat dengan raja-raja Melayu dan istiadat diraja, iaitu digunakan sebagai kenderaan diraja. Manakala, cogan kata negeri, iaitu Ya Latif membawa maksud lemah lembut, sebagai satu simbolik kepada pemerintahan beraja negeri ini yang tidak menggunakan kekerasan.

CopMohorCop Mohor Negeri Pahang mula diperkenalkan pada 31 Disember l947 selepas mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar telah melantik Yang Amat Mulia Tengku Besar Pahang yang juga Yang Dipertua Jawatankuasa Undang-undang Tubuh Negeri Pahang untuk menguruskan hal tersebut. Kemudiannya, Yang Amat Mulia Tengku Besar Pahang telah melantik Dato’ Setia Jaya untuk membuat rekaan cop mohor bagi negeri Pahang. Reka bentuk Cop Mohor Negeri Pahang telah diilhamkan dari Cogan Negeri Pahang.

Lagu negeri Pahang dikatakan berasal dari lagu Perang Pahang yang dikarang semula dengan menyesuaikan lagunya untuk dijadikan lagu negeri oleh Cik Shodder. Cadangan untuk mewujudkan Lagu Negeri Pahang bermula pada bulan Disember 1924 dan kemudiannya telah dipersembahkan untuk perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah pada 1 Mei 1925. Lagu ini telah dihantar ke Kuala Lumpur dan telah dimainkan buat pertama kalinya oleh State Band semasa Mesyuarat Majlis Persekutuan (Federal Council) pada tahun yang sama.

sidelongpxs14Warna bendera negeri Pahang pada asalnya adalah berwarna hitam. Pada zaman dahulu, masyarakat mengandaikan bahawa warna hitam sebagai warna rakyat. Hakikat sebenarnya adalah warna hitam merupakan warna kebesaran Bendahara yang melambangkan bahawa pada suatu ketika dahulu, pemerintah di Negeri Pahang adalah dari seorang yang bertaraf Bendahara. Setelah memakai gelaran sultan (Bendahara Wan Ahmad kepada Sultan Ahmad Al- Mu’adzam Shah), baginda telah meletakkan warna putih pada bendera negeri Pahang. Penambahan warna putih di atas warna hitam membawa maksud negeri Pahang adalah negeri yang mempunyai kedaulatan yang tersendiri dan mengamalkan pemerintahan beraja. Perkara ini juga membawa maksud bahawa negeri ini mempunyai keistimewaan-keistimewaan, undang-undang, adat istiadat, adat resam, tatasusila serta kuasa-kuasa yang tertentu yang ada pada raja sebagai sebuah negeri yang beraja dan berdaulat.