SetGamelan

Gong
Gong merupakan sejenis alat muzik yang diperbuat daripada gangsa, berbentuk bulat dan berongga dengan tepinya melengkung ke bawah. Gong mempunyai dinding tebal dan cembul di bahagian tengah permukaannya. Dalam set alat muzik gamelan terdapat dua jenis gong berlainan saiz yang digantung secara bersemuka pada kayu yang dihiasi ukiran tebuk. Gong-gong ini dipalu menggunakan pemalu gong yang diperbuat daripada kayu dengan hujungnya dibalut dengan getah sekerap dan disarung dengan kulit atau kain. Di antara semua alat muzik gamelan, gong merupakan alat muzik yang mengalunkan nada paling rendah dan berfungsi sebagai ‘bass’.

Gambang
Gambang dikategorikan sebagai alat muzik jenis xilofon yang terdiri daripada 20 kepingan kayu. Ukuran panjang dan tebal kepingan-kepingan kayu tersebut diselaraskan mengikut nada-nada tertentu. Kepingan kayu yang lebih pendek dan tebal mempunyai nada yang lebih tinggi manakala kepingan kayu yang lebih panjang dan nipis mempunyai nada yang lebih rendah. Gambang dipukul menggunakan sepasang pemukul yang pemegangnya diperbuat daripada rotan dan kepalanya diperbuat daripada kayu yang dibalut agar tidak merosakkan kepingan kayu. Oleh kerana gambang diperbuat daripada kayu maka bunyi yang dihasilkan adalah lebih unik dan berbeza berbanding dengan alat-alat muzik gamelan yang lain.

Saron dan Demong
Bentuk saron hampir menyerupai gambang kerana kedua-duanya dikategorikan sebagai alat muzik jenis xilofon. Walau bagaimanapun, saron berbeza daripada gambang kerana kepingan saron diperbuat daripada gangsa.Saron juga dimainkan menggunakan sebatang pemukul berbentuk seperti tukul yang kepalanya diperbuat daripada kayu atau tanduk kambing. Kepingan saron yang berjumlah enam keping diaturkan berbaris di atas kotak gema kayu yang berbentuk sampan kecil. Saron menghasilkan nada yang tinggi.
Demong mempunyai bentuk yang sama dengan saron tetapi saiznya lebih besar. Alat muzik ini menghasilkan nada yang lebih rendah daripada saron. Satu lagi perbezaan di antara demong dan saron ialah bilah demong lebih lebar dan nipis berbanding bilah saron. Demong juga dimainkan menggunakan pemukul yang sama seperti saron.

Gendangsidelongpxs6
Gendang merupakan sejenis alat muzik yang mempunyai dua permukaan berlainan saiz. Muka gendang yang besar mengeluarkan nada besar ‘doh’ manakala muka gendang yang kecil mengeluarkan nada kecil ‘cak’ dan ‘cang’. Badan atau baluh gendang diperbuat daripada kayu atau batang kelapa yang ditebuk berlubang pada kedua-dua bahagian mukanya. Permukaan yang lebih kecil ditutup dengan kulit kambing manakala permukaan yang lebih besar ditutup dengan kulit lembu. Gendang merupakan satu-satunya alat muzik gamelan yang tidak memerlukan sebarang kayu pemukul tetapi hanya menggunakan kedua-dua belah tapak tangan. Gendang dilaraskan dengan mengetatkan atau mengendurkan tali yang terdapat di badannya. Gendang merupakan alat muzik asli penduduk rantau Asia.

Kenong
Set gong unik ini terdiri daripada tiga buah gong besar berbentuk periuk yang diperbuat daripada gangsa. Ia diatur secara melintang berbentuk ‘L’ di atas tali yang direntang serta diikat pada tombol-tombol kecil dan besar yang terdapat di atas permukaan kotak gema kayunya. Kedudukan kenong di atas tali membolehkan bunyi yang lebih baik dan unik terhasil. Kenong dimainkan menggunakan sebatang kayu pemukul lurus yang dibaluti lilitan tali dengan rapi di hujungnya.

Keromong / Bonang
Keromong merupakan alat muzik gamelan yang terdiri daripada sepuluh buah gong gangsa berbentuk seperti kenong dengan saiz yang lebih kecil. Gong-gong ini diatur dalam dua barisan secara selari di atas tali yang direntangkan dengan ketat pada rangka kayu yang agak rendah. Keromong dimainkan menggunakan sepasang kayu pemukul seperti pemukul kenong tetapi dengan saiz yang lebih kecil. Keromong agak sukar untuk dimainkan dan memerlukan kemahiran yang tinggi.