Demong
Gambang
Gendang
Gong
Kenong
Keromong
Saron

Pahang merupakan negeri Melayu yang pertama melahirkan seni persembahan yang bersifat ‘ensemble’ istana sejak dari awal kurun ke-19. Dikatakan bahawa alat muzik Gamelan buat pertama kalinya diperdengarkan di Tanah Melayu semasa majlis perkahwinan di antara Tun Esah (Adik Bendahara Ali - Pemerintah Pahang) dengan Tengku Hussin putera, Sultan Johor-Riau pada tahun 1811. Satu rombongan penari dan pemain gamelan telah didatangkan khas dari Penyengat untuk memeriahkan lagi majlis perkahwinan tersebut. Sir Frank Swettenham, seorang pegawai British di Pahang juga pernah menulis tentang persembahan Joget Pahang yang disaksikannya sendiri di istana Pahang atas jemputan Bendahara Ahmad pada tahun 1875. Hal ini tercatat di dalam artikelnya yang bertajuk ‘The Joget’. Kesenian Gamelan ini dikatakan dicipta di istana Kerajaan Srivijaya sekitar abad ke 7-13 Masihi. Ia kemudiannya berkembang ke Istana Kesultanan Riau dan akhirnya dibawa masuk ke Istana Pahang pada abad ke-19. Terdapat tiga kumpulan muzik gamelan di Istana Pahang yang dikelolakan oleh isteri-isteri Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah tetapi antara kumpulan yang paling menonjol ialah kumpulan Che Bedah yang kemudiannya diteruskan oleh anaknya, Tengku Mariam. Seni muzik yang diwarisi dari istana ke istana ini terus dipelihara dengan baik melalui pengekalan gerak tari yang lemah-gemalai bersama iringan muzik Gamelan yang mengasyikkan.