Pergi ke www.MuseumMosque.com

MMSA500Masjid Sultan Abdullah merupakan masjid ketiga di Bandar Pekan dan dibina di atas tapak masjid kedua di Kuala Sungai Parit. Bangunan batu dengan reka bentuk “Moorish” ini dibina pada awal tahun 1929 dan siap pada tahun 1930. Istiadat perasmian masjid ini telah disempurnakan oleh YTM Tengku Abu Bakar Ibni Sultan Abdullah (Tengku Mahkota Pahang) yang berlangsung pada 8 Januari 1932. Masjid Abdullah telah berfungsi sebagai masjid utama bagi penduduk Pekan untuk ibadah sembahyang Jumaat dan segala aktiviti agama Islam yang lain pada masa itu. Pada tahun 1997, Lembaga Muzium Negeri Pahang telah mengambil alih bangunan masjid ini daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang setelah mendapati bahawa masjid ini tidak lagi digunakan dan terbiar tanpa sebarang penyelenggaraan asas. Pada peringkat permulaan, Lembaga Muzium Negeri Pahang telah menjalankan kerja-kerja pembersihan dalam dan luar bangunan. Di samping untuk memulihara bangunan Masjid Abdullah Pekan sebagai monumen lama dan bersejarah, Muzium Negeri Pahang sedang merancang untuk menjadikan bangunan masjid ini sebagai Muzium Kesenian dan Intelektual Islam Negeri Pahang kerana ia terletak di lokasi yang strategik dan amat sesuai untuk dijadikan sebagai galeri pameran.