Pergi ke www.PahangArtMuseum.com

PAM500Kerajaan Negeri Pahang melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan yang ke-35 pada 16 Oktober 1996 telah bersetuju supaya Lembaga Muzium Negeri Pahang membaik pulih bangunan bekas Pejabat Daerah Kuantan iaitu JKR No. K130 untuk dijadikan Muzium Tokoh Negeri Pahang. Bangunan yang telah siap diubahsuai pada 24 Februari 1999 ini telah dibina pada tahun 1910, iaitu ketika zaman pemerintahan British dan digunakan sebagai Pejabat Daerah Kuantan. Muzium Tokoh Negeri Pahang yang terdiri daripada tujuh galeri iaitu Galeri Tokoh Politik, Galeri Tokoh Budaya, Galeri Tokoh Sukan, Galeri Tokoh Agama, Galeri Tokoh Pahlawan dan Galeri Perdana (Perdana Menteri) ini telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Al Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al- Mu’adzam Shah pada 20 Oktober 2000. Bermula September 2010, Muzium Negeri Pahang telah mengubah suai bangunan Muzium Tokoh Negeri Pahang yang sedia ada di Jalan Masjid Kuantan, Pahang untuk dijadikan Muzium Seni Pahang. Penubuhan Muzium Seni Pahang ini diyakini akan menjadi satu daya tarikan baharu kepada para pelancong dari dalam mahupun luar negara. Berbeza dari Balai Seni Negeri Pahang, muzium ini mengetengahkan hasil seni para artis dari negeri Pahang khususnya dan Malaysia amnya,melalui pelbagai disiplin seni seperti lukisan, arca, fotografi, video dan filem serta seni persembahan sebagai pameran utamanya.