ICOM - International Council of Museums telah menetapkan bahawa semua muzium merupakan sebuah institusi yang tidak mengaut keuntungan, tetapi lebih memberi penekanan sebagai sebuah institusi yang tetap dalam memberi pendidikan kepada orang ramai menerusi proses penyelidikan dan kajian, dengan cara menyebar dan mempamer, disamping menyimpan dan memulihara bahan-bahan khazanah sejarah dan warisan budaya sesebuah negara. Ia boleh dimanfaat, menyeronokkan dan sekaligus bertindak sebagai bahan-bahan bukti manusia dan persekitarannya.’’

Muzium di Malaysia telah wujud sejak tahun 1883 apabila Kerajaan Inggeris menubuhkan Muzium Perak di Taiping dengan melantik En. Leornard Wray sebagai kurator yang pertama. Muzium Sarawak pula ditubuhkan sekitar tahun 1888 di Kuching oleh Raja Sarawak II, Sir Charles Brooke. Untuk menampung kekurangan tempat mempamer artifak yang semakin bertambah, Kuala Lumpur telah dipilih sebagai lokasi yang sesuai untuk membina bangunan muzium yang lebih besar. Muzium yang dinamakan sebagai Muzium Selangor ini mula dibina pada tahun 1888 dan siap pada tahun 1907. Pengurusan Muzium Perak dan Muzium Selangor telah disatukan di bawah Jabatan Muzium Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1910. Walau bagaimanapun, pada tahun 1930, pentadbiran muzium-muzium tersebut dipisahkan semula sebagai satu langkah program ‘pecah dan perintah’ (decentralisation) oleh Kerajaan Inggeris. Pada 10 Mac 1945, bangunan Muzium Selangor telah musnah akibat letupan bom. Barang-barang yang terselamat berjaya dipindahkan ke Muzium Perak untuk disimpan buat sementara waktu. Pada tahun 1959, sejurus selepas negara mencapai kemerdekaan, kerajaan telah melantik seorang arkitek untuk mereka bentuk sebuah bangunan khas, iaitu Muzium Negara yang dibina di atas tapak Muzium Selangor. Tahun demi tahun menyaksikan pertambahan jumlah muzium di Malaysia yang ditubuhkan di atas inisiatif kerajaan negeri masing-masing. Pada tahun 1976, Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur telah menubuhkan sebuah muzium yang diberi nama Muzium Sultan Abu Bakar.

Hasil daripada cetusan idea Allahyarham Tun Haji Abdul Razak, negeri Pahang mempunyai sebuah muzium negeri apabila Dewan Undangan Negeri Pahang Darul Makmur telah meluluskan Enakmen Bilangan 1/1975 pada 14 Ogos 1975. Satu upacara penyerahan laporan kemajuan penubuhan Lembaga Muzium Negeri Pahang oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Negeri Pahang kepada Lembaga Muzium Negeri Pahang telah diadakan di Istana Kota Beram pada 30 Julai 1975. Pada 26 Ogos 1975 pula, satu upacara penyerahan sijil pelantikan ahli-ahli Lembaga Muzium Negeri Pahang telah diadakan yang mana majlis tersebut telah dirasmikan oleh Dato’ Muhammad Jusoh, Menteri Besar Pahang pada ketika itu dan Tuan Haji Mokhtar bin Haji Mohd Daud, A.M.N., telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Pahang yang pertama. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah telah berkenan menyerahkan Istana Kota Beram kepada Lembaga Muzium Negeri Pahang untuk dijadikan sebagai sebuah muzium negeri yang pertama di negeri Pahang Darul Makmur. Pada 21 Oktober 1976, Istana Kota Beram secara rasminya telah dijadikan sebuah muzium dengan nama ‘'Muzium Sultan Abu Bakar’'.

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia merangkap pengerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) melihat kepentingan muzium dalam konteks Pengekalan Warisan, Pendidikan dan Sektor Pelancongan. Majlis Penjenamaan Muzium Sultan Abu Bakar yang telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah pada 21 Oktober 2012 berkonsepkan muzium dalam taman - The Intellectual Garden. Ia menjadikan muzium ini lebih terbuka dari segi penggunaan ruang dan mempunyai interaksi yang sangat baik dengan masyarakat. Taman muzium menjadi ruang aktiviti terbuka untuk persembahan serta ruang rehat para pengunjung. Selain daripada itu, ia juga akan menyerlahkan lagi koleksi muzium dan ruang pameran.

Dewan Undangan Negeri yang bersidang pada 11 Ogos 2015 telah meluluskan rang undang-undang Perbadanan Muzium Negeri Pahang bagi menggantikan Enakmen Lembaga Muzium Negeri Pahang 1975. Transformasi ini penting dalam proses mempercepat perkembangan muzium dari segi pendidikan, konservasi, keselamatan, koleksi dan pameran serta untuk memperluas dan memperbanyak aktiviti muzium kepada masyarakat setempat dan antarabangsa.